Sekolah dan peperiksaan. Tentunya semua orang melewati musim-musim peperiksaan di sekolah. Bermula dari ujian bulanan, ujian pertengahan tahun, ujian akhir tahun sehinggalah peperiksaan besar yang melibatkan semua pelajar seluruh negara (Malaysia) seperti UPSR, PMR dan SPM. Antara sedar ataupun tidak, sudah menjadi 'adat kebiasaan' masyarakat kita mengadakan bacaan Surah Yassin sebelum anak-anak mereka menduduki peperiksaan terutama UPSR, PMR dan SPM. Keluarga ana juga tidak terkecuali. Boleh dikatakan, setiap kali ada diantara kami adik beradik yang akan menduduki peperiksaan besar, ayah dan mak akan menjemput ahli qaryah surau untuk membaca Yaasin. Begitu juga semasa di Taayah dulu, setiap hari Yaasin akan dibaca diantara waktu Maghrib dan Isyak.
Beberapa hari yang lalu, ketika kami masih dalam musim peperiksaan pertengahan semester, ana telah mendapat mesej dari seorang sahabat.
"Salam. Nape kita baca Yassin untuk periksa ek?ke soalan sy ni jahil sgt?"
Agak terpaku membaca mesej tersebut. Selama ni, tidak pernah terlintas di benak fikiran sendiri walau sepicing pun. Tetapi,cukup puas dengan hanya meyakini bahawa sebagai hati Al-Quran, Surah Yassin yang dibaca akan menjadi berkat sebagai penerang hati bagi mereka yang membacanya, seperti yang dikatakan 'masyarakat'-(guru-guru, orang tua-tua, dll). Namun dari sumber yang sahih? Al-Quran dan Sunnah? Langsung tak pernah mencuba untuk mencari sendiri dalil apakah yang boleh disandarkan.
Tiba-tiba timbul rasa bersalah di dalam hati. Bertubi-tubi soalan timbul. Adakah selama ini amalan yang dilakukan hanyalah sebagai 'ikut-ikutan' semata-mata? Hanya bersandarkan dengan adat masyarakat melayu? Mungkin juga bid'ah. Na'uzubillah.Terasa betapa jahilnya diri ini. Malu kepada yang bertanya. Beramal tanpa berilmu. Tidak tahu jawapan apa yang paling sesuai diberikan. Mungkinkah "Soalan tu x jahil. Tp, sy yg jahil" ?.
'Dari 'Athok bin Abi Rabah r.a.h berkata: Telah sampai kepadaku, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada permulaan hari, maka segala hajatnya akan dipenuhkan".
Secara akal, memang tidak salah untuk mengamalkan bacaan Yaasin sebagai penerang hati, kerana sesungguhnya kalamullah itu adalah nur bagi kehidupan kita di dunia.
Daripada Abu Zar r.a.h berkata: Aku telah berkata, "Wahai Rasulullah, nasihatkanlah saya." Rasulullah s.a.w bersabda, " Bertakwalah kepada Allah kerana takwa adalah asas bagi segala amalan." Saya berkata lagi, "Tambahkan untuk saya." Baginda s.a.w bersabda, " Ambil beratlah untuk membaca Al-Quran kerana Al-Quran adalah nur untuk kamu di dunia ini dan bekalan untukmu di langit (pada hari kiamat)."
' Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjagaya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sebelum mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia. '
Oleh itu, jika ada diantara kita yang hanya bersandarkan kepada 'berkat Yaasin' untuk berjaya, anda sememangnya dan semestinya telah silap besar. Jika difikirkan secara logik, dengan menggunakan akal manusia yang waras sebagai sebaik-baik penciptaan (95:4), tak mungkinlah sesorang itu mampu untuk menjawab soalan 1+1 tanpa dia pernah mengenal nombor '1' dan fungsi bagi simbol '+', namun hanya bergantung kepada 'berkat Yaasin' sahaja. isk, lawak, lawak.
Mungkin juga kita terlupa, mungkin juga terkeliru bahawa Yaasin itu hanyalah sebagai perantara. Jangan pernah kita menganggap dan bertekad bahawa dengan membaca Yaasin dan dengan usaha yang dilakukanlah yang telah menyebabkan kita berjaya. Namun, sandarkanlah segala sesuatu itu hanya kepada Allah.
'Demikianlah karunia Allah, yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki; dan Allah memiliki karunia yang besar'.
- Sandarkanlah segala sesuatu itu hanya kepada yang Maha Qadir.
- Janganlah kita beramal hanya sebagai ikut-ikutan sahaja.
- Untuk berjaya, kita harus berusaha sehabis daya, lalu bertawakkal (berdoa, baca Yaasin) dengan tekad semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah.