Sunday, April 19, 2009

YM

83. Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Zulkarnain. Katakanlah, "Akan kubacakan kepadamu kisahnya."

84. Sungguh, kami telah memberikan kedudukan kepadanya di bumi, dan Kami telah memberikan jalan kepadanya (untuk mencapai) segala sesuatu,

85. maka dia pun menempuh suatu jalan.

86. Hingga ketika dia telah sampai di tempat matahari tebenam (di pantai sebelah barat), dia melihatnya (matahari) terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam, dan di sana ditemukannya suatu kaum (tidak beragama). Kami berfirman, " Wahai Zulkarnain! Engkau boleh menghukum atau berbuat kebaikan (mengajak beriman) kapada mereka."

87. Dia (Zulkarnain) berkata, "Barangsiapa berbuat zalim, kami akan menghukumnya, lalu dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, kemudian Tuhan mengazabnya dengan azab yang sangat keras.

88. Adapun orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, maka dia mendapat (pahala) yang terbaik sebagai balasan, dan kan kami sampaikan kepadanya perintah kami yang mudah.

89. Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain).

90. Hingga ketika dia sampai di tempat terbit matahari (sebelah timur) didapatinya (matahari) bersinar diatas suatu kaum yang tidak Kami buatkan suatu pelindung bagi mereka [menurut sebahagian mufasir, golongan yang ditemui Zulkarnain itu umat yang miskin] dari (cahaya matahari) itu,

91. demikianlah, dan sesungguhnya Kami mengetahui segala sesuatu yang ada padanya (Zulkarnain).

92. Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi).

93. Hingga ketika dia sampai di antara dua gunung, didapatinya di belakang (kedua gunung itu) suatu kaum yang hampir tidak memahami pembicaraan [mereka tidak memahami bahasa orang lain, kerana bahasa mereka sangat jauh bezanya dari bahasa yang lain, dan mereka pun tidak dapat menerangkan maksud mereka dengan jelas kerana kekurangcrdasan mereka].

94. Mereka berkata, "Wahai Zulkarnain! Yakjuj dan Makjuj [dua bangsa manusia yang berbuat kerosakan bumi] itu (sekelompok manusia) berbuat kerosakan di bumi, maka bolehkah kami membayarmu imbalan agar engkau membuatkan dinding penghalang antar kami dan mereka?"

95. Dia (Zulkarnain berkata, "Apa yang telah dianugerahkan Tuhan kepadaku lebih baik (daripada imbalanmu), maka bantulah aku dengan kekuatan, agar aku dapat membuatkan dinding penghalang antara kamu dan mereka,

96. berilah aku potongan-potongan besi!" Hingga ketika (potongan) besi itu telah (terpasang) sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, dia (Zulkarnain) berkata, "Tiuplah (api itu)! "Ketika (besi) itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, "Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar kutuangkan ke atasnya (besi panas itu)"

97. Maka mereka Yakjuj dan Makjuj tidak dapat mendakinya dan tidak dapat pula melubanginya.
98. Dia (Zulkarnain) berkata, "(Dinding)ini adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila janji Tuhanku sudah datang, Dia akan menghancurluluhkannya; dan janji Tuhanku itu benar."

99. Dan pada hari itu Kami biarkan mereka (Yakjuj dan Makjuj) berbaur antara satu sama lain, dan (apabila) sankakala ditiup (lagi), akan Kami kumpulkan mereka semuanya,

100. dan Kami perlihatkan (neraka) Jahannam dengan jelas pada hari itu kepada orang kafir,

101. (iaitu) orang yang mata hatinya dalam keadaan tertutup (tidak mampu) dari memperhatikan tanda (kebesaran-Ku), dan mereka tidak sanggup mendengar.

(Al-Kahf, 18: 83-101)



~kita hanyalah hamba~

Friday, April 3, 2009

DiN vS DiNNER?

Title yang manakah adalah lebih tepat untuk ana gunakan?

DiN vS DiNNER atau DiNNER vS DiN?

Mungkin yang lebih tepat untuk ana gunakan ialah DiNNER vS DiN. Kenapa ye?
  1. Siapakah DiNNER yang berhak untuk dilawan? Adakah dalam DiNNER terkandung peraturan-peraturan yang tertentu sehingga peraturan-peraturan tersebut boleh dilanggar oleh DiN?
  2. Sedangkan dalam DiNuL ISLAM telah terkandung peraturan-peraturan yang memang telah diakui kebenarannya.
"...dan Kami turunkan Kitab (Al-Qur'an) kepadamu untuk menjelaskan segala sesuatu, sebagai petunjuk, serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri (muslim)."

(Al-Nahl, 16:89)

Semuanya berkisar tentang sebuah majlis makan malam yang dianjurkan oleh sebuah persatuan yang ada di universiti tempat ana menuntut. ISLAM dan MELAYU. Rata-rata yang menjadi urusetia program adalah ISLAM dan MELAYU. Mungkin 95%. Boleh jadi juga 100%. Wallahua'lam.

Mungkin bagi sesetengah orang, adalah satu kemestian dalam menghadiri majlis makan untuk:
  1. Pakaian baru yang belum pernah dilihat orang
  2. Mengikut tema
  3. Pakaian mestilah vouge
Dan tidak ketinggalan juga anggapan sesetengah kelompok hamba ALLAH, bahawa majlis makan malam adalah satu platform untuk lebih bergaya ataupun bergaya lebih. Apa yang ana maksudkan bergaya lebih disini? Lebih seksi, lebih berani. Mungkin dengan lebih seksi, akan jadi lebih anggun. Ya tak ya, bukankah dalam majlis makan malam semua orang mahu kelihatan anggun?

Tapi...cuba kita kita fikir dan zikir kembali. Apakah anggun kita di mata manusia = anggun kita di mata ALLAH? Jika ya. ALHAMDULILLAH. Tapi jika tidak? NA'UZUBILLAH.

~Retronite. Back To BASIC~

HEBAT.GEMPAK.KEREN. Mungkin benar. Cara pengurusannya memang cemerlang sekali. Aturcaranya teratur rapi dan tersusun teliti. Syabas dan tahniah. Tapi dari segi "pengisiannya"? Apakah tetap HEBAT, GEMPAK, KEREN di mata ALLAH? Wajarkah kita berdoa memohon "keberkatan" dari-NYA bilamana kita sendiri tidak memenuhi kehendak-NYA? Tidak malukah kita? Jika kita menyandarkan pada logika akal manusia yang maha cetek ilmunya pun, tidak wajar seorang guru akan memberikan hadiah buat anak muridnya yang langsung tidak pernah menyiapkan tugasan yang diberikannya.

Memang sifat RAHMAN ALLAH itu MAHA WASI'. Tapi, sampai bilakah kita mahu sentiasa meminta tanpa cuba untuk melaksanakan kehendak dan perintah-NYA? Sampai bila kita mahu menjadi pengemis wang di jalanan tanpa pernah cuba untuk mencari kerja walaupun hanya sebagai tukang sapu? Tidak malukah kita meminta meminta dan terus meminta?

Mungkin ada yang kurang jelas tentang analogi yang ana bawakan di sini. Mudahnya begini :
  • Pengemis : hamba
  • Wang : rahmat ALLAH
  • Bekerja : menunaikan perintah ALLAH, meninggalkan larangan-NYA
  • Tukang sapu : pekerjaan (walaupun pendapatan tukang sapu rendah, kedudukannya adalah lebih tinggi dari seorang pengemis yang tidak pernah bekerja)
Bermula dengan hanya sebagai seorang tukang sapu, tidak mustahil suatu hari nanti dia boleh menjadi pengurus syarikat pembersihan asalkan dia mahu dan terus berusaha. Sama juga dengan keadaan kita. Tidak mustahil seseorang hamba itu berjaya meningkatkan keimanannya pada ALLAH asalkan dia MAHU dan TERUS BERUSAHA ke arah itu.

"...hidayah belum sampai la...''

Selalu kita dengar. Tapi jarangkita telusuri maksud yang tersirat. Sama ada hidayah belum sampai? Atau kita yang tak pernah nak menyambut kedatangan 'hidayah' itu? Atau kerana kita sentiasa menggunakan payung untuk megelakkan basah dari terkena hujan hidayah? Wallahua'lam. Tepuk pipi tanya diri.

Antara lain yang menambahkan malu ana sebagai seorang muslim ialah slot Fashion Show. Majoritinya, nama-nama mereka yang 'mengeshow' semuanya mempunyai pertengahan bin dan binti. Adakah perlu dijelaskan maksudnya di sini? Sudah terang lagi bersuluh mereka semua adalah ISLAM. Mungkin boleh diterima jika pakaian-pakaian yang dipakai oleh mereka yang mempunyai pertengahan nama binti ini berlandaskan firman ALLAH dalam Surah An-Nur dan Surah Al-Ahzab, seperti mana yang termaktub dalam Quranul-Karim, kitab yang menjadi pegangan kita semua yang mempunyai petengahan nama bin dan binti.

" Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang boleh terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka...... Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beiman, agar kamu beruntung. "
(An-Nur, 24:31)

"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, "Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian tu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyanyang."
(Al-Ahzab, 33:59)

Namun, apa yang berlaku bukanlah sejajar dengan kalimatullah di atas. Ada sesetengah pakaian yang dipakai oleh mereka yang sedikitpun tidak layak dipakai walaupun sesama perempuan. Apatah lagi jika dipakai dalam majlis yang ada lelaki ajnabi.

Sekadar untuk berkongsi dan evaluasi diri sendiri dan sahabat. =)


~kita hanyalah hamba~

Thursday, March 19, 2009

'berkat' Yaasin

Rasanya ramai diantara kita yang sudah melepasi zaman sekolah. Bermula dari usia 7 tahun sehinggalah 17 tahun (bagi mereka yang mengikuti aliran sekolah yang biasa). Tidak kurang juga ada yang berjaya menamatkan zaman sekolah seawal usia 16 tahun kerana telah berjaya 'lompat' kelas setelah berjaya dalam PTS (Penilaian Tahap Satu). Namun ada juga sahabat kita yang menamatkan zaman sekolahnya pada usia 18 tahun kerana mengikuti kelas peralihan Tingkatan 1. Berapapun usia kita sewaktu meninggalkan jejak di sekolah, itu tidak penting. Pokoknya, kita semua mempunyai suatu kepastian yang semua orang pernah zaman persekolahan.


Sekolah dan peperiksaan. Tentunya semua orang melewati musim-musim peperiksaan di sekolah. Bermula dari ujian bulanan, ujian pertengahan tahun, ujian akhir tahun sehinggalah peperiksaan besar yang melibatkan semua pelajar seluruh negara (Malaysia) seperti UPSR, PMR dan SPM. Antara sedar ataupun tidak, sudah menjadi 'adat kebiasaan' masyarakat kita mengadakan bacaan Surah Yassin sebelum anak-anak mereka menduduki peperiksaan terutama UPSR, PMR dan SPM. Keluarga ana juga tidak terkecuali. Boleh dikatakan, setiap kali ada diantara kami adik beradik yang akan menduduki peperiksaan besar, ayah dan mak akan menjemput ahli qaryah surau untuk membaca Yaasin. Begitu juga semasa di Taayah dulu, setiap hari Yaasin akan dibaca diantara waktu Maghrib dan Isyak.

Beberapa hari yang lalu, ketika kami masih dalam musim peperiksaan pertengahan semester, ana telah mendapat mesej dari seorang sahabat.
"Salam. Nape kita baca Yassin untuk periksa ek?ke soalan sy ni jahil sgt?"


Agak terpaku membaca mesej tersebut. Selama ni, tidak pernah terlintas di benak fikiran sendiri walau sepicing pun. Tetapi,cukup puas dengan hanya meyakini bahawa sebagai hati Al-Quran, Surah Yassin yang dibaca akan menjadi berkat sebagai penerang hati bagi mereka yang membacanya, seperti yang dikatakan 'masyarakat'-(guru-guru, orang tua-tua, dll). Namun dari sumber yang sahih? Al-Quran dan Sunnah? Langsung tak pernah mencuba untuk mencari sendiri dalil apakah yang boleh disandarkan.

Tiba-tiba timbul rasa bersalah di dalam hati. Bertubi-tubi soalan timbul. Adakah selama ini amalan yang dilakukan hanyalah sebagai 'ikut-ikutan' semata-mata? Hanya bersandarkan dengan adat masyarakat melayu? Mungkin juga bid'ah. Na'uzubillah.Terasa betapa jahilnya diri ini. Malu kepada yang bertanya. Beramal tanpa berilmu. Tidak tahu jawapan apa yang paling sesuai diberikan. Mungkinkah "Soalan tu x jahil. Tp, sy yg jahil" ?.

'Dari 'Athok bin Abi Rabah r.a.h berkata: Telah sampai kepadaku, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada permulaan hari, maka segala hajatnya akan dipenuhkan".

(Hadith riwayat Darimi)

Alhamdulillah. Akhirnya 'menang' juga dalam pencarian. Terjumpa juga dengan apa yang dicari-cari. Membetulkan pegangan. Digenggam erat-erat.

Secara akal, memang tidak salah untuk mengamalkan bacaan Yaasin sebagai penerang hati, kerana sesungguhnya kalamullah itu adalah nur bagi kehidupan kita di dunia.

Daripada Abu Zar r.a.h berkata: Aku telah berkata, "Wahai Rasulullah, nasihatkanlah saya." Rasulullah s.a.w bersabda, " Bertakwalah kepada Allah kerana takwa adalah asas bagi segala amalan." Saya berkata lagi, "Tambahkan untuk saya." Baginda s.a.w bersabda, " Ambil beratlah untuk membaca Al-Quran kerana Al-Quran adalah nur untuk kamu di dunia ini dan bekalan untukmu di langit (pada hari kiamat)."

(Hadith Riwayat Ibnu Hibban)

Namun begitu, kalau dengan hanya meletakkan harapan untuk berjaya, memasang cita tanpa daya, kononnya berkat Yaasin pembawa cahaya, bersiaplah kita untuk lemas di dalam paya yang digali sendiri.

' Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjagaya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sebelum mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia. '
(Ar-Ra'd, 13:11)

Allah sendiri telah berfirman di dalam Furqan, bahawa sesuatu kaum itu tidak akan dapat menambah apa yang ada pada diri mereka sekiranya mereka sendiri yang tidak berusaha menambahkannya.Yang pipih tak akan datang melayang. Yang bulat pun tak pernah datang bergolek. Semuanya akan datang setelah dilayangkan dan apabila digolekkan.

Oleh itu, jika ada diantara kita yang hanya bersandarkan kepada 'berkat Yaasin' untuk berjaya, anda sememangnya dan semestinya telah silap besar. Jika difikirkan secara logik, dengan menggunakan akal manusia yang waras sebagai sebaik-baik penciptaan (95:4), tak mungkinlah sesorang itu mampu untuk menjawab soalan 1+1 tanpa dia pernah mengenal nombor '1' dan fungsi bagi simbol '+', namun hanya bergantung kepada 'berkat Yaasin' sahaja. isk, lawak, lawak.


Mungkin juga kita terlupa, mungkin juga terkeliru bahawa Yaasin itu hanyalah sebagai perantara. Jangan pernah kita menganggap dan bertekad bahawa dengan membaca Yaasin dan dengan usaha yang dilakukanlah yang telah menyebabkan kita berjaya. Namun, sandarkanlah segala sesuatu itu hanya kepada Allah.

'Demikianlah karunia Allah, yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki; dan Allah memiliki karunia yang besar'.
(Al-Jumu'ah, 62:4)

Lastly but not least, apa yang boleh disimpulkan atau dirangkumkan atau direflekskan disini ('moralitas'nya) ialah:
  1. Sandarkanlah segala sesuatu itu hanya kepada yang Maha Qadir.
  2. Janganlah kita beramal hanya sebagai ikut-ikutan sahaja.
  3. Untuk berjaya, kita harus berusaha sehabis daya, lalu bertawakkal (berdoa, baca Yaasin) dengan tekad semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah.
Wallahu a'lam.
~kita hanyalah hamba~

Friday, March 13, 2009

Makan oh makan!!!

Makan memang best. Rasanya, hampir 100% orang yang hidup kat atas muka bumi ni suka makan, tak kiralah siapa pun orang tu. Kecil, besar, tua, muda, gemuk, kurus, kaya dan miskin. Semua tak terkecuali dengan 'kerja' yang satu ni. Sebab, itulah fitrah. Fitrah bagi makhluk yang hidup, hatta makhluk Allah yang unisel pun suka makan.


Tapi tahu tak? BANYAK penyakit yang menyerang kita sebenarnya sangatlah berkait rapat dengan makanan yang kita jamah. Sebab tulah Nabi Muhammad s.a.w sering mengingatkan kita tentang bahayanya perut kita ni supaya kita sentiasa berhati-hati dan beringat tentangnya.


Kadang-kadang kita memandang enteng terhadap adab-adab yang perlu dijaga ketika makan. Walhal, perkara yang simple inilah menjadi basic bagi kesihatan kita. Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menyenaraikan tujuh adab sebelum makan yang perlu kita jaga.

  1. Memastikan makanan daripada sumber halal.
  2. Membersihkan tangan
  3. Meletakkan makan dalam bekas yang diletakkan di lantai kerana ia melatih diri untuk bertawaduk. Tetapi jika makanan diletakkan di atas meja tanpa melampaui batas, ia tidaklah dilarang.
  4. Duduk secara betul. Dilarang makan sambil berbaring atau bersandar.
  5. Berniat agar makanan itu mendatangkan kekuatan untuk beribadat kepada Allah.
  6. Bergembira dengan rezeki yang terhidang dan bersyukur.
  7. Berusaha untuk tidak makan seorang diri, tetapi bersama-sama dengan orang lain.
Selain itu, Imam al-Ghazali juga ada menyenaraikan adab ketika makan yang perlu juga kita jaga supaya makanan yang kita makan itu akan diberkati oleh Allah.
  1. Mulakanlah dengan bismillah dan doa.
  2. Makan dengan tangan kanan.
  3. Mengunyah dengan baik.
  4. Jangan dicaci sebarang makanan.
  5. Sebaik-baiknya dijamah makanan yang terdekat, kecuali buah-buahan.
  6. Jangan menghembus di atas makanan yang panas. Tunggulah dengan sabar.
  7. Jangan makan secar berlebihan.
  8. Apabila terpaksa minum air, pastikan ia sedikit sahaja kecuali jika perlu.
Selepas makan pun ada adab-adabnya yang perlu kita jaga. Bukan main taram je.
  1. Berhenti sebelum kenyang.
  2. Menjilat jari.
  3. Membasuh tangan.
  4. Berdoa.
  5. Mengeluarkan makanan yang terlekat di celah gigi.
  6. Banyak bersyukur kepada Allah.
  7. Beristighfar agar diampunkan Allah andai ada unsur syubhah pada makanan.


~kita hanyala hamba~

Tuesday, March 10, 2009

Selawat Nariyah

Ya Tuhan kami,
Limpahkanlah kesejahteraan (dan keselamatan) yang sempurna atas jnjungan kami,
Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam,
Semoga terurai dengan berkahNya segala buhulan,
dan dilepaskan dari segala kesusahan,
ditunaikan segala hajat,
dan tercapai segala keinginan,
dan husnul khatimah (saat akhirnya yang baik),
dicurahkan hujan rahmat oleh Allah.


Dengan berkahNya yang mulia atas keluarga,
dan sahabat-sahabat baginda,
setiap kerdipan mata,
setiap hembusan nafas,
bahkan banyak pengetahuanMu,
wahai Tuhan kami,
AMEEN.



Salam maulidur rasul.=)

~kita hanyalah hamba~