Thursday, August 19, 2010

Better?

Diceritakan bahawa suatu ketika Nabi Isa a.s sedang berjalan bersama seorang muridnya. Tiba-tiba seorang lelaki yang terkenal suka melakukan maksiat mengikuti mereka dari belakang. Murid Nabi Isa itu menoleh ke arah orang itu dengan penuh kebencian. Lalu dia berdoa di dalam hati, "Ya Allah, janganlah engkau himpunkan diriku bersama orang ini."
Nabi Isa tiba-tiba menoleh kepada muridnya dan berkata, "Doamu telah dikabulkan. Allah menerima taubat orang itu dan mengusir kamu. Pergilah engkau dari sisiku."

Tercengang deh! Kita sememangnya harus membenci perbuatan maksiat. Namun kebencian kita kepada maksiat tidak bererti membenci dan menghina orang yang melakukannya.
Seringkali sikap negatif sebegini membuatkan orang semakin jauh daripada agama. Sebaliknya kita harus membuka hati kita untuk mengasihi lalu memberi nasihat yang tulus kepadanya. Kelembutan selalunya memberi kesan yang lebih bermakna dalam mengubah orang lain daripada kekerasan atau penghinaan.

Kita tidak boleh berasa lebih baik daripadanya, apalagi menghinanya sebab kita tidak tahu akhir kehidupan kita dan akhir kehidupannya. Tidak mustahil orang itu akan bertaubat sebelum matinya lalu mendapat husn al-hatimah. Dan tidak mustahil kita akan berubah sebelum mati lalu terjerumus dalam dosa yang dilakukannya itu, nauzubillah.

Dalam hadith daripada Muaz bin Jabal, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut." (Riwayat al-Tirmizi no. 2693).
Sebenarnya berasa diri lebih baik daripada orang lain ialah penyakit yang sangat berbahaya. Sifat ini akan menutup hati dan telinga kita daripada menerima nasihat dan kata-kata yang berguna untuk kebaikan kita di dunia dan akhirat. Jika tidak segera diubati, penyakit hati ini akan membawa kita kepada pelbagai kerugian dan kerosakan yang lebih berat daripada yang diakibatkan dosa-dosa zahir.

Al-Hafiz Ibn Hajar menceritakan dalam Fath al-Bari 11/401 bahawa Hafs bin Humaid bertanya kepada Imam Ibn al-Mubarak: "Aku melihat seseorang membunuh orang lain. Bolehkah aku berasa di dalam hati bahwa diriku lebih baik daripadanya?"
Ibn al-Mubarak berkata: "Perasaan ini lebih berat daripada dosa orang itu."

Tiada manusia yang sempurna. Kadang memang kita silap melangkah. Tanpa sedar atau dengan sedar. Namun sampai bila kita mahu menjadikan ketidaksedaran itu sebagai tiket untuk kita terus melakukan kesilapan?

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa."(3:133).

"Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui."(3:135).

Faghfirli zunubi ya Rabb!!! Innaka Tawwabur Rahim...
~kita hanyalah hamba~

No comments:

Post a Comment