Wednesday, September 1, 2010

Gaza Tidak Memerlukanmu

Santi Soekanto adalah salah satu dari 12 warganegara Indonesia di kapal Mavi Marmara yang diserang Israel. Sebelum serangan itu, Santi sempat mengirimkan ‘e-mail’ yang sangat menyentuh perasaan.

Surat jurnalis Majalah Hidayatullah ini bertajuk "Gaza Tidak Memerlukanmu!", dihantar pada Ahad 30 Mei 2010, atau sehari sebelum serangan lanun Israel. Surat ini dibuat di atas kapal Mavi Marmara tika masih berada di tengah laut, 180 batu dari Pantai Gaza.

Saat itu, Santi dan anggota ‘team Freedom Flotilla’ lain sedang menunggu kedatangan team lain untuk nanti sama-sama berangkat ke Gaza. Namun ura-ura kemungkinan Israel akan menyerang sudah berkocak.

"Kami masih menanti, masih tidak pasti, buat masa ini berita pelbagai ancaman Israel sedang tersebar," kata Santi dalam pembukaan suratnya.

Santi berkongsi pengalamannya bertemu dengan ratusan orang dengan pelbagai latar belakang. Masing-masing dengan gayanya yang tersendiri. Dari orang kanan pemimpin politik Inggeris yang angkuh, sehingga aktivis muslimah yang pendiam tapi sentiasa tangkas untuk memastikan semua rombongan dapat makan tepat pada waktunya. Berikut adalah surat lengkap Santi untuk rakannya Tommy Satryatomo yang kemudiannya diterbitkan di blognya:


...................................................................................................

GAZA TIDAK MEMERLUKANMU!

Di atas M/S Mavi Marmara, di Tengah Laut, 180 batu dari Pantai Gaza.

Sudah lebih 24 jam berlalu sejak kapal ini berhenti bergerak kerana beberapa alasan, terutamanya menanti kedatangan sebuah lagi kapal dari Ireland [Rachel Corrie, pent] dan kedatangan sejumlah anggota parlimen beberapa negara Eropah yang akan turut serta dalam konvoi Freedom Flotilla menuju Gaza. Kami masih menanti, masih tidak pasti, buat masa ini berita pelbagai ancaman Israel sedang tersebar.

Ada banyak cara untuk menggunakan waktu –banyak di antara kami yang membaca Al-Quran, berzikir atau membaca. Ada yang sibuk mengadakan halaqah. Beyza Akturk dari Turki mengadakan kelas kursus bahasa Arab untuk peserta Muslimah Turki. Senan Mohammed dari Kuwait mengundang seorang ahli hadith, Dr. Usama Al-Kandari, untuk memberikan kelas Hadith Arbain An-Nawawiyah [Hadith 40 Imam An-Nawawi] secara singkat dan berjanji bahawa para peserta akan mendapat sijil.

Wartawan pula sibuk dengan tugas masing-masing, para aktivis –terutama para veteran perjalanan yang pernah ke Gaza sebelumnya– mundar-mandir; ada yang angkuh memasuki ruang media sambil menyatakan bahawa dia merupakan orang kanan seorang pemimpin politik Inggeris yang pernah menjadi penggerak salah satu konvoi ke Gaza.

Aktivism
Ada begitu banyak aktvism, heroism. Bahkan ada seorang peserta konvoi yang mengenakan ‘T-shirt’ yang di bahagian dadanya bertulis ‘Heroes of Islam’ atau ‘Para Pahlawan Islam’. Di sinilah terasa sungguh betapa pentingnya menjaga keutuhan niat agar selalu lurus kerana Allah Ta'ala.

Para wartawan pula sering merasa hebat dan ‘powerful’ kerana mendapat layanan khusus berupa akses komunikasi dengan dunia luar, sementara para peserta lain tidak. Yang mempunyai posisi penting di negeri asal, contohnya anggota parlimen atau ahli korporat; mungkin merasa diri mereka penting kerana sumbangan ‘material’ yang besar terhadap Gaza.

Kalau dibiarkan, riya’ akan menyelusup, na'udzubillahi min dzaalik, dan semua kerja keras ini bukan sahaja akan kehilangan maknanya seperti buih air laut yang terhempas ke pantai, bahkan menjadi lebih hina kerana menjadi sumber amarah Allah Ta'ala.

Muhasabah
Dari waktu ke waktu, dalam kesibukan dan kegelisahan memikirkan tugas, sempat memberi kesempatan untuk duduk merenung dan tafakkur, sungguh perlu bagiku untuk bermuhasabah dan mengingatkan diri sendiri. Apa yang kau lakukan Santi? Untuk apa kau lakukan ini Santi? Tidakkah seharusnya kau berlindung kepada Allah dari ketidakikhlasan dan riya’? Kau pernah berada dalam situasi ketika orang menganggap dirimu berharga dan ucapanmu patut didengar hanya kerana jawatanmu di sebuah pejabat penerbitan. And where did that lead you? Had that situation led you to Allah, to Allah's blessing and pleasure, or had all those times brought you Allah's anger and displeasure?

Kalau hanya sekadar penghargaan manusia yang kuperlukan di sini, Subhanallah, sungguh banyak orang disini yang jauh lebih layak dihargai oleh seisi dunia. Mulai dari Presiden IHH, Fahmi Bulent Yildirim sampai seorang Muslimah muda pendiam dan solehah yang tidak banyak bercakap selain sibuk menguruskan aktiviti ulama terkemuka di atas kapal ini, sehingga beberapa pemuda ikhlas yang tanpa banyak bicara sibuk membersihkan bekas puntung rokok sejumlah perokok tegar.

Kalau hanya sekadar penghargaan manusia yang kumahukan di sini, Subhanallah, di tempat ini juga ada orang-orang terkenal yang angkuh kerana kehebatan diri mereka.

Semua berteriak, "Untuk Gaza!" namun siapakah di antara mereka yang teriakannya memenangi redha Allah? Hanya Allah yang tahu.

Gaza Tidak Memerlukan Aku
Dari waktu ke waktu, aku perlu memperingatkan diriku bahawa Al-Quds tidak memerlukan aku. Gaza tidak memerlukan aku. Palestin tidak memerlukan aku.

Masjidil Aqsa milik Allah dan hanya memerlukan pertolongan Allah. Gaza hanya perlu Allah. Palestin hanya memerlukan Allah. Bila Allah mahu, sungguh mudah bagiNya untuk saat ini juga, detik ini juga, membebaskan Masjidil Aqsa. Membebaskan Gaza bahkan seluruh Palestin.

Akulah yang perlu berada di sini, suamiku Dzikrullah-lah yang perlu berada di sini kerana kami ingin Allah memasukkan nama kami ke dalam senarai hamba-hambaNya yang bergerak -betapa pun sedikitnya- menolong agamaNya. Menolong membebaskan Al-Quds.

Sungguh mudah menjeritkan slogan-slogan, Bir ruh, bid dam, nafdika ya Aqsha. Bir ruh bid dam, nafdika ya Gaza!

Namun sungguh sulit memelihara kesatuan antara seruan lisan dengan seruan hati.

Cara Allah Mengingatkan
Aku berusaha mengingatkan diriku selalu. Namun Allah selalu punya cara terbaik untuk mengingatkan aku.

Pagi ini aku ke bilik mandi untuk membersihkan diri seadanya - kerana tak mungkin mandi di tempat dengan air terhad di sini, walau betapa rimas dan busuknya tubuhku.

Masuk sahaja ke salah satu bilik, ternyata tandas kecil yang dioperasikan dengan sistem vakum seperti dalam pesawat itu dalam keadaan menjijikkan kerana ada dua potongan kuning coklat menyumbat lubangnya! Apa yang harus kulakukan? Aku sedar, masih ada satu bilik dengan tandas lain yang berfungsi, namun kalau kulakukan itu, alangkah tak bertanggung-jawabnya aku? Kalau aku mengajar kanak-kanak bahawa apa pun yang kita lakukan untuk membantu mereka yang fi sabilillah akan dihitung sebagai amal fi sabilillah, maka bukankah sekarang waktunya aku melaksanakan apa yang sering kuceramahkan?

Entah berapa kali kutekan tombol ‘flush’, namun tidak berhasil. Kotoran itu terus melekat dan tersangkut di situ. Kukosongkan sebuah bekas sampah dan kuisi dengan air sebanyak mungkin –perbuatan yang sebenarnya dilarang kerana semua peserta konvoi sudah diingatkan untuk menjimatkan air– lalu kusiramkan ke lubang tandas.

Masih melekat.
Kucuba lagi menyiram.
Masih melekat.
Tidak ada cara lain. Aku harus menggunakan tanganku sendiri.
Kubungkus tanganku dengan beg plastik. Kupicit sekali lagi tombol ‘flush’. Sambil sedikit menunduk dan menahan nafas, kudorong tangan kiriku ke lubang toilet.
Blus!
Kotoran melekat itu pun hilang disedut entah kemana.

Lebih dari 10 minit kemudian kupakai tandas tersebut untuk membersihkan diriku sebaik mungkin sebelum kembali ke ruang wanita, namun tetap sahaja aku merasakan tidak bersih. Bukan di badan, mungkin, tapi di fikiranku, di jiwaku.

Ada peringatan Allah di dalam kejadian tadi -agar aku merendah hati, agar aku ingat bahawa sehebat dan sepenting apa pun tampaknya tugas dan pekerjaanku, bila kulakukan tanpa keikhlasan, maka tak ada ertinya atau bahkan lebih hina daripada perbuatan menolak kotoran yang melekat tadi.

Allahumaj'alni minat tawwabiin

Allahumaj'alni minal mutatahirin

Allahumaj'alni min ibadikassalihin



29 Mei 2010, 10.20 malam.

Santi Soekanto


Terjemahan: Mohd Ferdaus Mohd Tahar


*Seorang suri rumah dan wartawan yang ikut serta dalam konvoi Freedom Flotilla to Gaza, Mei 2010. Email ini adalah emel terakhir beliau sebelum ditahan oleh Israel. Dilaporkan beliau masih ditahan oleh Israel.

~kita hanyalah hamba~

No comments:

Post a Comment